| Kenalan Hanzsensei |

Sesuatu Yang Tertinggal Dalam Menyeru


" Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."

Surah An-Nahl- Ayat 125


Entri kali ini bertajuk sesuatu yang tertinggal dalam konteks mendekati sahabat yang dirasa 'kurang'. Disini saya menggariskan beberapa cara terbaik untuk mendekati mereka dengan cara berhemah dan terbaik masa kini. Rujukan saya adalah buku berjudul 'Bagaimana Menyentuh Hati' karangan Abbas As-Siisi, 'Golongan Yang Tercicir: Pada Jalan Dakwah' karangan Fathi Yakan beserta pengalaman sendiri dan beberapa buku yang tertentu.

1. Jangan pernah melabel sahabat itu 'Masalah' dan menjadikan dia sebagai suatu kelompok terpinggir.

-Saya melihat perkara ini agak serius kerana jika anda sudah meletakkan (set) dalam minda kita, mereka adalah teruk, masalah, kurang dan lain-lain kategori negatif maka dalam pemikiran kita, kita menjadikan mereka sebagai kelompok yang memerlukan panduan dan pedoman yang serius!

-Justeru, 'set' kan pada mentaliti kita bahawa mereka jua sama seperti kita. Perlukan sokongan sebagai seorang sahabat yang memahami tanpa meletakkan pandangan pada penampilan, gaya dan personaliti sebagai sesuatu yang terkeluar dari landasan yang betul.

2. Sentuh hati mereka.

-Ramai yang beranggapan bahawa susah dan payah untuk menarik golongan ini. Pada saya, mereka tidaklah susah malah senang untuk kita bersama mereka dan menyentuh hati mereka. sentuh hati mereka dengan keikhlasan kita bersama mereka dan menjadikan kita sebahagian dari golongan ini.

- Rasulullah menunjukkan suri teladan yang terbaik sebagai contoh ikutan seluruh manusia. Bersederhana adalah yang terbaik buat semua perkara. Justeru itu, apabila mendekati mereka, tunjukkan rasa hormat dan senang melafazkan kata-kata yang sederhana tidak lupa gurau senda. Paling senang adalah dengan bermanis muka.


3. Berada di tempat mereka dan terima mereka seadanya.

- Maksudnya apabila bersama mereka kita faham keadaan mereka. Suka dan duka bersama kita kongsi dan rela menjadi pembantu setia. apabila kita sudah mereka anggap sebagai sebahagian dari mereka, maka bait-bait pertemuan untuk menasihati akan mudah diterima dengan perlahan-lahan dan penuh berhikmah.

-Jika anda menjadi sebahagian daripada mereka, anda pasti faham bagaimana keadaan, perasaan dan respon mereka apabila dipandang sinis oleh sekeliling oleh kerana mereka begitu dianggap tercicir. Dan sudah pasti, jika anda tidak mengawal emosi anda, kemungkinan reaksi anda juga seperti mereka.


4. Sampaikan perkara baik walau sedikit sahaja.

-Rasulullah bersabda," Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat"
Prinsip dakwah Nabi ini sangat simple dan penuh makna. Setiap pengucapan dan kata-kata kita yang memberi maksud positif adalah dakwah yang terang dan tersembunyi tanpa mereka sedari.

-Dalam perbualan seharian, anda boleh mengajukan sesuatu ajakan yang bersifat menyedarkan dalam masa yang sama anda bersama dalam ajakan tersebut. Contohnya, apabila tiba waktu solat, kawan anda sedang bermain permainan video dengan penuh perhatian. Anda menyatakan ingin turut bermain bersama. Dalam masa yang sama, anda memuji cara permainan kawan anda itu- dalam bibit pertemuan interaksi itu, anda mengajak solat bersama dan berjanji menyambung bermain bersamanya.

5. Libatkan mereka dengan sebarang program.

-Pengamatan saya yang ketara dalam perkara ini adalah kurangnya penglibatan mereka dalam aktiviti. Ini kerana apabila ada program, mereka datang sebagai peserta, penonton atau sekadar tidak endah.

-Percaya atau tidak, saya melihat merekalah penyumbang terbesar dalam aktiviti yang positif. Sebagai contohnya, kita tahu mereka sangat meminati muzik atau design. Jadikan mereka sebagai jawatankuasa program kerana kepercayaan yang diberi kepada mereka akan digunakan sebaiknya.


Saya melihat ramai yang tertinggal dalam mengadaptasikan teori dakwah yang selalu diucapkan. Namun pelaksanaannya cuma lebih berunsur mengubah bukan menyedarkan. Inilah satunya kita tertinggal...Menyentuh Hati...

Sedikit penulisan ini adalah sesuatu yang sering saya terfikir bila melihat situasi dakwah kampus masa kini yang lebih tertumpu kepada mengIslamkan manusia bukan mengIslamkan hati manusia. Jika kita memandang dakwah itu berjaya pada luaran fizikal, itu sesuatu yang retorik semata jika tidak disulam dengan benih kesedaran dalam diri.


No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin